Tangkap layar menunjukkan kira-kira 12 buah kereta terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya BKE, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Dua penunggang motosikal cedera dalam satu kemalangan membabitkan 14 kenderaan di Kilometer 12 Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) arah Seberang Jaya di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya  menerima panggilan berhubung kejadian kemalangan pada pukul 7.14 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita dapati kemalangan melibatkan 12 buah kereta pelbagai jenis dan dua buah motosikal. Tiada kemalangan jiwa mahupun mangsa tersepit dalam kejadian tersebut namun dua penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan.

Kemalangan itu turut menyebabkan laluan tersebut sesak hampir lima kilometer.

“Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pihak bomba sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial kemalangan melibatkan belasan kenderaan di lebuh raya berkenaan kira-kira pukul 6.30 pagi menyebabkan aliran trafik sesak sejauh lebih lima kilometer.

Berdasarkan beberapa hantaran pengguna media sosial kemalangan dipercayai berpunca dari sebuah kereta yang terbabas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast