KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) Malaysia meminta kerajaan meluaskan bantuan kepada semua PKS dan bukan hanya pengeksport dan pengilang yang terjejas akibat tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Presidennya, Datuk William Ng berkata, tarif dan gangguan perdagangan global bukan cabaran yang hanya dihadapi oleh pengeksport sahaja.
Jelasnya, majoriti PKS di Malaysia tidak mengeksport dan bukan terlibat dalam sektor pembuatan namun menerima kesan yang sama besar apabila kos input meningkat, rantaian bekalan semakin ketat dan perbelanjaan pengguna semakin menyusut.
Menurut beliau, 84 peratus daripada PKS Malaysia terlibat terlibat dalam perkhidmatan domestik, peruncitan, logistik, pembinaan, perdagangan, serta sektor makanan dan minuman (F&B) namun tetap terjejas dengan perkembangan semasa global.
“Bagi PKS dalam sektor perkhidmatan, cabaran utama bukan sekadar kehilangan akses ke pasaran antarabangsa tetapi beban tekanan inflasi dan permintaan domestik yang merosot, tanpa pelindungan atau margin keuntungan yang dinikmati oleh syarikat besar atau yang berorientasikan eksport.
“Dalam situasi semasa, peningkatan kos walaupun sedikit boleh menyebabkan ramai PKS terjejas dan mungkin gulung tikar.
“Kami juga menyeru agar kerajaan melaksanakan pembekuan sementara terhadap sebarang keperluan pelesenan dan pematuhan baharu yang menambah beban kepada PKS yang sudahpun dalam tekanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Samenta memberi maklum balas terhadap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta tindakan pantas kerajaan terhadap memberi respons kepada tarif timbal balas yang dikenakan AS.
Ini termasuk menambah jaminan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM1 bilion, pinjaman mudah RM500 juta melalui institusi kewangan pembangunan, dan peruntukan tambahan RM50 juta kepada MATRADE.
Katanya, kesemua langkah itu adalah tepat pada masanya dan penting dalam membantu pengeksport PKS tempatan kebanyakannya beroperasi dengan margin keuntungan yang amat kecil.
Dalam kenyataan yang sama, Samenta turut menggesa kerajaan untuk memberhentikan sebarang kenaikan kos baharu yang dirancang kepada PKS termasuk peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta caj tambahan yang dicadangkan oleh pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan.
Willian juga menyeru kerajaan agar mempertimbangkan pelonggaran sekatan ke atas pengambilan pekerja asing, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, pelancongan dan logistik.
Menurut beliau, sektor tersebut masih bergelut mendapatkan tenaga kerja tempatan dan beroperasi di bawah kapasiti optimum.
“Cabaran ini diburukkan lagi oleh kebarangkalian semakin ramai pemain asing memasuki sektor perkhidmatan tempatan, apabila syarikat multinasional dan pesaing serantau mencari pasaran selamat di tengah ketidaktentuan perdagangan global.
“Dalam hal ini, kami menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan padang persaingan yang adil untuk PKS tempatan, termasuklah penguatkuasaan undang-undang persaingan yang lebih tegas, keperluan ekuiti tempatan bagi pelabur asing dalam sektor perkhidmatan strategik, serta kawalan terhadap amalan harga pemusnah (predatory pricing) yang boleh menggugat kelangsungan PKS tempatan,” ujarnya lagi.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan langkah untuk merangsang permintaan domestik bagi menghadapi sentimen pengguna yang lemah.
Ini termasuk memberikan insentif kepada pengguna yang menyokong produk dan perkhidmatan tempatan serta menggalakkan GLC dan syarikat besar untuk meningkatkan pelaburan daripada pembekal tempatan.
Selain itu katanya, geran dan sokongan cukai bagi digitalisasi, automasi dan kecekapan operasi akan membantu PKS menampung kenaikan kos dan membina daya tahan jangka panjang. -MalaysiaGazette

















I’m very interested in planting maize suitable for animal feed silage which is not conducted on a large scale especially in Sabah where we have about 10,000 cattle heads, few thousand goats etc . Maize is being imported around 3,000-4,000 tons monthly for chicken feed, cattle, pigs etc for Sabah consumption. If the government can give me an initial funding assistance of say RM 100,000 this project can take off in teaching the locals who have abduntant idle land in Sabah. Most locals are willing to venture if there is a guaranteed buyer.
I have done research on this matter and can start by using 2-3 acres initially to educate the locals like a training centre