KUALA LUMPUR – Sidang khas Dewan Rakyat berkenaan isu tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) membawa isyarat yang baik yang mana terdapat peluang untuk memperkukuhkan konsensus politik di peringkat nasional di sebalik krisis yang berlaku.
Malah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, idealisme konsep perpaduan harus diterjemahkan kepada konsensus lain seperti dalam isu-isu 3R (agama, kaum, raja); isu-isu kebajikan rakyat dan isu keselamatan negara.
Menurut beliau, negara pernah melalui konsensus dalam isu pandemik Covid-19 walaupun ada pihak mengambil kesempatan politik untuk menggugat demokrasi berparlimen.
Tambahnya, pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga memberi peluang kepada lahirnya konsensus politik tetapi tidak dapat memenuhi keseluruhan titah Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu.
“Apakah perbahasan tarif sebagai reaksi terhadap tindak balas Presiden AS, Donald J. Trump di Parlimen hari ini satu peluang mencetuskan konsensus dan menyatukan ahli-ahli politik untuk menjamin kestabilan dan kedaulatan negara?
“Jikalau semua blok politik dapat mendidik penyokong masing-masing dengan naratif yang mereka sampaikan dalam sesi Parlimen hari ini, politik kita akan menjadi lebih matang, objektif dan menuju ke titik tengah yang sangat diperlukan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, sidang khas Dewan Rakyat berlangsung hari ini bagi membincangkan perkembangan terkini serta langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan susulan kenaikan tarif timbal balik yang dikenakan AS ke atas Malaysia seperti diumumkan awal April lalu.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan Malaysia menerusi delegasi yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke Washington baru-baru ini menunjukkan hasil positif dengan AS berkemungkinan menurunkan kadar tarif awal, namun ia belum muktamad.
Sementara itu, Mujahid turut menyifatkan sidang khas Dewan Rakyat kali ini agak unik kerana rata-rata perbahasan dalam isu tersebut menarik Ahli-Ahli Parlimen ke arah konsensus nasional.
Jelasnya, ia bermakna isu tersebut menghimpunkan semua pihak rentas blok politik ke arah satu naratif besar, iaitu mempertahankan maruah dan kehormatan negara.
“Ini adalah satu contoh bahawa secara domestik, peluang kedaulatan ekonomi yang terjejas mampu menyatukan ahli politik yang dilihat selama ini punca kepada perpecahan,” katanya. – MalaysiaGazette
















