KUALA LUMPUR – Pasukan Khas Rawatan ke-5 (SCT 5) berjaya menamatkan misi kemanusiaan di Gaza selama sebulan dan kini selamat pulang ke tanah air.

Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan SCT 5 yang dihantar pada 27 Mac tiba di tanah air pada 26 April lalu.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata kepulangan SCT 5 bukan sahaja menandakan kejayaan misi penting, malah mengukuhkan komitmen terhadap tindakan kemanusiaan yang berasaskan kemanusiaan dan keadilan.

“Di Gaza, keperluan bantuan masih sangat mendesak.

“Kami menyeru semua pihak berkuasa untuk memudahkan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta melindungi warga awam dan petugas kemanusiaan, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Pasukan SCT 5 dihantar sebagai tindak balas kepada krisis kemanusiaan berterusan di Gaza, di bawah memantauan World Health Organization’s Emergency Medical Teams Coordination Cell (WHO EMTCC).

“Pasukan ini merupakan pasukan perubatan kelima MERCY Malaysia yang dihantar ke Gaza berikutan peningkatan konflik bermula 7 Oktober 2023.

“Konflik ini mengorbankan lebih 48,000 nyawa menyebabkan 11,800 kecederaan dan memaksa kira-kira 1.9 juta penduduk Gaza menjadi orang pelarian dalaman (IDP),” ujarnya.

Jelasnya lagi, ekoran keadaan kemanusiaan yang terus merosot dan susulan gencatan sementara pada Januari 2025, Pasukan SCT 5 berjaya memasuki Gaza melalui King Hussein Bridge di Jordan.

“Selama sebulan menjalankan misi kemanusiaan, Pasukan SCT 5 telah memberikan rawatan perubatan kritikal di beberapa fasiliti kesihatan yang telah lumpuh, termasuk Hospital Al-Shifaa, Hospital AlNasser, dan Hospital Pakar Kuwait.

“SCT 5 juga bekerjasama dengan petugas kesihatan tempatan untuk meningkatkan kapasiti kecemasan sambil memberikan rawatan trauma kepada ratusan pesakit,” katanya lagi.

Dr Ahmad Faizal berkata, majoriti kes yang ditangani melibatkan trauma letupan, fraktur kompleks, luka bakar darjah dua hingga tiga, serta infeksi sekunder akibat kepadatan penempatan yang tinggi dan keterbatasan akses air bersih.

“Pasukan SCT 5 turut menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, WHO EMTCC, serta rakan-rakan tempatan bagi memastikan bantuan perubatan dilaksanakan selaras dengan keutamaan misi kemanusiaan dan rancangan pemulihan jangka masa Panjang.

“Misi ini mencerminkan komitmen berterusan MERCY Malaysia terhadap isu kemanusiaan yang tidak berat sebelah dan berlandaskan prinsip antarabangsa.

“SCT 5 dihantar sebagai sebahagian daripada usaha MERCY Malaysia untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan susulan gencatan senjata terkini dan sebagai persediaan untuk keperluan masa depan,” katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Faizal turut menegaskan bantuan kemanusiaan tidak boleh dipolitikkan atau dihalang.

“Organisasi ini akan terus bekerjasama dengan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan WHO EMTCC untuk menyokong tindakan kemanusiaan yang berterusan dan berprinsip di Gaza serta wilayah lain yang memerlukan.

“MERCY Malaysia kekal berkomitmen untuk meneruskan usaha kemanusiaan di Gaza, termasuk penghantaran pasukan tambahan dan sokongan jangka panjang bagi pemulihan komuniti terjejas,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast