JOHOR BAHRU – Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru tidak memihak kepada mana-mana calon yang khusus dalam pemilihan kepimpinan tertinggi parti yang akan datang pada 8 dan 9 Mei ini.

Ketua PKR Cabang Johor Bahru, Mohamad Taufiq Ismail berkata, pilihan perlu dibuat berdasarkan rekod khidmat, kebolehan memimpin dan kesungguhan dalam memperkukuh parti berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menekankan agar semangat perpaduan dan adab sesama anggota sentiasa dipelihara semasa pemilihan pada kali ini.

“Pemilihan ini harus berlangsung dalam suasana harmoni, profesional dan matang tanpa unsur fitnah, provokasi atau perpecahan.

“Cabang Johor Bahru yakin bahawa perbezaan pandangan adalah kekuatan apabila diuruskan dengan berhemah dan berlandaskan prinsip perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Taufiq berkata, cabangnya mengalu-alukan mana-mana calon yang ingin menyumbang kepada parti di peringkat nasional dengan niat ikhlas, semangat reformasi yang tinggi serta iltizam untuk memperjuangkan agenda rakyat.

Beliau berkata, cabang Johor Bahru juga positif terhadap mana-mana ahli parti yang menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti kali ini.

“Sebagai sebuah cabang yang menjunjung prinsip demokrasi dan keterbukaan, kami percaya bahawa pertandingan dalam parti adalah sebahagian proses pematangan politik dan pengukuhan kepimpinan.

“Proses ini bukan sahaja membuka ruang kepada perbincangan idea dan hala tuju, tetapi juga memastikan bahawa pemimpin yang dipilih kelak mendapat mandat yang kukuh daripada akar umbi parti,” katanya.

Cabang Johor Bahru, katanya, mendoakan agar proses pemilihan pusat kali ini berjalan lancar dan diberkati Allah.

“Semoga setiap calon dan anggota parti diberikan kekuatan, keikhlasan dan kebijaksanaan dalam membuat pilihan demi masa depan parti yang lebih gemilang.

“Kami komited untuk terus memperkukuh PKR sebagai wadah perjuangan rakyat yang utuh dan berprinsip,” ujar beliau.

Selain Datuk Seri Rafizi Ramli yang dijangka bertanding mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Nurul Izzah Anwar disebut-sebut akan bertanding merebut jawatan tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast