Hassan dan Cai Tung melawat kawasan banjir kilat di Kampung Belantik, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Lebih 500 penduduk Kampung Belantik di sini mahu kerajaan segera menyelesaikan masalah banjir kilat yang melanda kawasan itu sejak 2012.

Wakil penduduk, Romzi Mohd Hashim, 56, mendakwa, setiap kali hujan lebat lebih dua jam, 70 daripada lebih 100 buah rumah di kampung itu akan terjejas dengan ketinggian air mencecah sehingga hampir satu meter.

Dia yang menetap di kampung itu sejak 40 tahun lalu berkata, keadaan akan bertambah buruk sekiranya hujan lebat dan berlaku air pasang serentak kerana parit sedia ada tidak dapat menampung kapasiti air.

“Masalah banjir di kampung ini adalah disebabkan air hujan yang disalur keluar dari kawasan sebelah iaitu Kampung Bendahara, apabila kawasan Sungai Pandan di sini dipenuhi air, ia akan naik sehingga banjir.

“Jadi penduduk mempunyai beberapa cadangan antaranya membina laluan keluar air daripada Kampung Bendahara terus menuju ke Sungai Sebulong sebelum disalurkan ke Sungai Pandan.

“Selain itu, penduduk juga meminta pintu air yang dibina di sebelah lebuh raya berhampiran dipindahkan ke kawasan kampung ini bagi memudahkan penduduk membantu menjaga kemudahan tersebut.

“Sebelum ini kerajaan telah bina pintu air di kawasan berhampiran, tetapi beberapa bahagian dicuri sehingga rosak dan tidak berfungsi. Jadi kita mohon pintu air dipindahkan ke kampung ini,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung menyerahkan rumah pam air kepada wakil penduduk di kampung itu hari ini.

Sementara itu, Hassan Abdul berkata, rumah pam berkenaan akan dapat membantu mengurangkan masalah banjir bagi masa ini.

“Alhamdulillah, setelah permohonan dibuat kepada Pejabat Perdana Menteri, sumbangan kira-kira RM70,000 telah disalurkan untuk membina rumah pam di kampung ini.

“Walaupun ia mungkin tidak menyelesaikan masalah banjir untuk jangka masa panjang, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha yang dilakukan untuk bantu penduduk,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cai Tung berkata, kerenah dan pertindihan kuasa antara Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) antara punca banjir kilat di kampung tersebut tidak selesai sejak 13 tahun lalu.

Tambahnya, masalah tersebut sudah banyak kali dibawa dalam mesyuarat penyelarasan yang melibatkan semua agensi terbabit namun tiada tindakan susulan selepas itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast