Rodziah menyampaikan ceramah dalam Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk) terakhir di Hotel New York, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Calon Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rodziah Ismail menyeru semua ahli parti bangkit menyatakan pendirian dan sokongan sekiranya hak mereka dinafikan dalam proses pemilihan PKR 2025 pada minggu ini.

Menurutnya, setiap ahli mempunyai tanggungjawab untuk mengundi sama ada secara fizikal atau dalam talian bagi memastikan suara akar umbi didengari dan dihormati.

“Walau apa juga keputusan pada 24 haribulan (pemilihan) nanti, kalau hak anda dinafikan, jangan risau, bangkit bersama untuk kita nyatakan sokongan.

“Kita mahu pastikan sistem kita diperbetulkan,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk) terakhir di Hotel New York di sini malam tadi.

Menurutnya, audit yang dijalankan oleh pihak luar telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem pemilihan pada kali ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Ampang itu berharap semua teguran yang disuarakan semasa pemilihan itu dijadikan asas penambahbaikan demi kelangsungan dan integriti parti.

“Kita ingin satu saja iaitu kepercayaan anggota kepada kita dipulihkan sepenuhnya. Dengan itu, orang luar juga akan yakin kepada PKR,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan parti akan meraih kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 di bawah kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast