KUALA LUMPUR – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 bukan sekadar perebutan jawatan sebaliknya ia adalah cerminan kepada kematangan politik, kekuatan akar umbi dan kesatuan menjadi tunjang parti sejak zaman reformasi.
Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pemilihan kali ini sebagai manifestasi keutuhan PKR sebagai parti rakyat, merentas bangsa, agama dan generasi.
“PKR bukan sekadar parti tetapi satu keluarga besar kita. Kita sudah melalui segala bentuk rintangan. Pemilihan ini bukan perkara baharu, tetapi sebahagian daripada ‘DNA reformasi’ yang kita pertahankan sejak awal,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam kenyataan hari ini.
Ramanan yang menawarkan diri bagi jawatan Naib Presiden berkata, segalanya bermula dari bawah dan akar umbi bukan sahaja penentu pemimpin, tetapi penyambung nyawa perjuangan parti.
Katanya, dalam PKR hanya ada satu pasukan dan tiada kem.
“Perbezaan adalah kekuatan, dan demokrasi dalaman ini adalah bukti kematangan kita sebagai parti reformasi,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















