Pemandu maut tersangkut wayar selepas kenderaan Toyota Hilux hilang kawalan dan terbabas di di Kilometer 2.8 Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan awal pagi tadi. Foto PDRM

KUALA LUMPUR –  Seorang lelaki maut manakala penumpangnya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 2.8 Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Maslan Udin berkata, kejadian jam 2.30 pagi itu berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari arah Port Dickson menuju ke Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di lokasi kenderaan yang dipandu mangsa berusia 33 tahun itu hilang kawalan, terbalik, berpusing beberapa kali dan merempuh sebatang tiang Tenaga Nasional Berhada sehingga patah sebelum melanggar pagar pejabat TNB Port Dickson dan mangsa tercampak keluar lalu tersangkut pada wayar.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala, manakala penumpang hadapan hanya alami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan Toyota Hilux dinaiki dua mangsa selepas hilang kawalan dan terbabas dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan awal pagi tadi. Foto PDRM

Tambah Maslan, semakan lanjut ke atas mangsa didapati tidak mempunyai lesen memandu serta memiliki tiga rekod berkaitan dadah dan satu rekod jenayah.

“Namun begitu, kenderaan yang dipandu mempunyai cukai jalan dan insurans yang masih aktif. Rakaman papan pemuka dari kenderaan terlibat telah diperoleh untuk membantu siasatan,” ujarnya sambil menyeru orang ramai lebih berhati-hati ketika memandu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast