JOHOR BAHRU – Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli membuat kemunculan mengejut pada saat-saat akhir proses pengundian secara fizikal di Berjaya Waterfront di sini petang ini.
Kehadiran Menteri Ekonomi itu di pusat pengundian mencetuskan suasana sedikit kecoh apabila dikerumuni pengamal media yang ingin mendapatkan reaksinya.
Rafizi kemudiannya mengesahkan beliau akan menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung malam ini, dan bakal disempurnakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya akan hadir, kenapa pula saya tidak mahu hadir? Malah esok pun saya akan hadir,” katanya ringkas menjawab pertanyaan media.
Beliau ditemui sejurus selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi secara fizikal sebentar tadi.
Awal hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Rafizi akan menghadiri sesi perasmian Kongres Nasional dan ucapan Dasar Presiden yang dijadual berlangsung malam ini.
Ketika menjawab pertanyaan media, Anwar berkata tidak menerima sebarang pengesahan rasmi daripada Rafizi mengenai kehadirannya namun sebagai Timbalan Presiden, Ahli Parlimen Pandan itu lazimnya hadir dalam acara-acara penting parti.
“Saya rasa beliau akan datang. Memang beliau tidak maklumkan secara langsung kepada saya, tetapi sebagai Timbalan Presiden, beliau biasanya hadir,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Berjaya Waterfront hari ini. – MalaysiaGazette
















