Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Eastern International TVET, Gambang

KUANTAN – UMNO tidak tamak untuk memohon mana-mana jawatan menteri yang kemungkinan dikosongkan susulan keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO bersyukur sudah mempunyai tujuh jawatan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

“Itu hak mereka. Kita tidak boleh campur dan kita tahu batas-batas permintaan kita. Sebab itu kuota untuk mereka (PKR). Jadi, saya tidak fikir UMNO begitu tamak untuk memohon jawatan itu diberikan kepada UMNO

“Tapi kalau jawatan itu mahu diberikan kepada UMNO, kita menadahkan sebuah padang bola untuk menerima tawaran itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran Eastern International TVET, Bandar Gambang, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada 10 Mei lalu, bekas Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya melepas jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahan jawatan dalam pemilihan parti itu.

Dalam keputusan yang diumumkan malam tadi, Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dengan hampir 6,000 majoriti.

Selain itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR juga tersingkir.

Mengulas keputusan pemilihan parti PKR, Ahmad Zahid Hamidi berharap hubungan kedua-dua gabungan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan terus erat.

Beliau juga yakin sebarang keputusan yang akan dibuat Presiden PKR iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan pemilihan parti itu malam tadi akan terus memperkukuh Kerajaan Madani ketika ini.

“Saya tidak seharusnya campur dalam urusan parti lain. Tentunya Datuk Seri Anwar akan melakukan sesuatu yang terbaik agar kerajaan sedia ada dan anggota jemaah menterinya dapat bergerak terus seiring sejalan untuk menentukan pengukuhan kerajaan madani ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden PKR serta kesemua barisan kepimpinan baharu yang telah memenangi pemilihan PKR seperti diumumkan dalam Kongres Nasional PKR  malam tadi.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada Nurul Izzah Anwar kerana telah memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR, juga kepada empat orang naib presiden yang dipilih dan juga ahli-ahli MPP begitu juga Ketua AMK dan Wanita PKR.” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast