KUALA LUMPUR – Seorang peguam mempersoalkan sama ada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sengaja tidak dibawa pulang ke negara ini bagi mengelak dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak.
Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, sehingga hari ini, beliau tidak melihat sebarang usaha dilakukan oleh pasukan siasatan untuk membawa pulang ahli perniagaan kontroversi tersebut.

Ujar beliau, pegawai penyiasat dalam kes (tanpa menyatakan kes yang mana) dihadapi bekas Perdana Menteri itu tidak mengesahkan kepada mahkamah bahawa mustahil untuk membawa Jho Low pulang.
“Bagi memastikan keberadaan Jho Low, pegawai penyiasat sepatutnya menunjukkan bukti di mahkamah bahawa dia bersembunyi di mana-mana sehingga mustahil untuk membawanya pulang.
“Pegawai penyiasat akan menunjukkan kepada mahkamah bahawa notis merah (red notice) telah dikeluarkan bagi mengesannya.
“Tapi dalam kes Datuk Seri Najib, saya tidak nampak usaha sedemikian dilakukan (oleh pegawai penyiasat). Berkaitan Nik Faisal (atau nama penuhnya Nik Faisal Ariff Kamil), kita juga tidak tahu sama ada dia masih berada di negara ini atau sudah melarikan diri?
“Adakah dia juga sengaja tidak dipanggil?” soalnya pada sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran: Perundangan dan Hak Asasi Manusia di sini hari ini.
Terdahulu, Hasnal Rezua ditanya salah seorang peserta, Azmee Masrus berhubung keberadaan Jho Low dan Nik Faisal yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MB).
Dalam soalannya, Azmee merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan usaha membawa pulang Jho Low ke Malaysia bagi menghadapi tindakan undang-undang mungkin tidak disenangi sesetengah pihak.
Memetik laporan Berita Harian pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri berkata, ada pihak tertentu yang tidak berhasrat untuk melihat Jho Low selaku individu dikehendaki berkaitan skandal kewangan 1MDB kembali ke negara ini.
Dalam satu wawancara bersama 101 East terbitan Al-Jazeera, Anwar ditanya sama ada wujud kumpulan tertentu yang enggan Jho Low dibawa pulang ke Malaysia dan beliau menjawab; “Ya”.
“Saya percaya begitu, saya yakin ….. kerana kepulangannya mungkin akan mendedahkan lebih banyak perkara.
“Namun saya tidak mahu terganggu dengan menganggap isu ini sebagai satu-satunya perkara yang perlu ditangani oleh seorang Perdana Menteri,” katanya kepada hos rancangan itu, Mary Ann Jolley. – MalaysiaGazette
















