TANGKAK – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggang melanggar sebuah motosikal lain ketika menyeberang jalan di Kilometer 7.6 Jalan Muar-Tangkak di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak,Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kejadian pukul 5 petang itu melibatkan motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang mangsa dengan motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang lelaki berusia 32 tahun.
“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki berusia 82 tahun itu sedang menyeberang Jalan dari arah kanan ke kiri.
“Motosikal Honda C100 kemudian terlanggar motosikal ditunggang lelaki tersebut yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penunggang motosikal terbabit dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar untuk mendapatkan rawatan.
Menurut beliau, penunggang motosikal Honda C100 itu meninggal dunia di hospital berkenaan semasa mendapat rawatan pada pukul 12.20 tengah malam tadi.
Kemalangan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan berbahaya.
Pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menhubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nurhisyam Shafiq Mat Lopa 013-982 5324.- MalaysiaGazette
















