KUALA LUMPUR – Pelan kerja ASEAN berkaitan belia dilihat mampu menghasilkan sebuah rangka kerja bagi menangani kebimbangan serta isu-isu berbangkit, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berpendapat, ia kerana golongan tersebut telah bersedia dengan pembentangan isu-isu yang lebih substantif berhubung isu kestabilan dan penjajaran selepas mengambil kira setiap kenyataan berhubung isu-isu belia.
Beliau yang juga Pengerusi ASEAN 2025 melihat isu yang dibangkitkan sebagai satu cabaran dan ia mesti ditangani untuk generasi muda.
“Belia ASEAN perlu lantang, berprinsip dan sedar akan tuntutan zaman kerana penglibatan mereka adalah penting dalam membentuk masa depan rantau ini.
“Apa yang penting bagi belia adalah untuk menjadi lebih efektif dalam ekspresi, suara hati dan peka dengan tuntutan zaman.
“Jadi pelan kerja ASEAN mengenai belia nampaknya dapat menyediakan rangka kerja untuk menangani banyak isu dan kebimbangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan pembukaan sebelum memulakan sesi Dialog bersama Wakil Belia ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. .
Mengulas lanjut, Anwar mahu Belia ASEAN perlu diberi ruang yang lebih besar dalam usaha memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan rantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri berkata, keterlibatan aktif belia bukan lagi pilihan tetapi keperluan mendesak dalam landskap sosial, ekonomi dan politik yang semakin kompleks.
“Bagi pihak rakan sekerja saya, negara anggota dan pemimpin mereka, saya mengucapkan terima kasih atas penyertaan mereka. Lebih-lebih lagi kami merasakan begitu banyak harapan daripada anda, bukan sahaja dari negara anda, tetapi dari kedua-dua teras ASEAN yang sangat padu dan kukuh,” katanya. – MalaysiaGazette
















