KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Julai ini bagi keputusan ganti rugi yang akan dibayar oleh seorang pemegang akaun TikTok kepada Datin Seri Rosmah Mansor yang menyamannya berkaitan rakaman video yang mengaitkan beliau dengan amalan ilmu hitam.
Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh pada pendengaran prosiding taksiran ganti rugi hari ini.
Isteri bekas Perdana Menteri menyaman Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, bagi menuntut ganti rugi RM1 juta kerana memfitnah beliau dalam rakaman video berkenaan yang disiarkan pada 22 Mac 2023.
Salah seorang peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, pada prosiding itu mahkamah membangkitkan persoalan undang-undang untuk dijawab sebelum keputusan dicapai.
Ujarnya, seorang lagi peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang turut hadir pada prosiding itu kemudian memohon tarikh singkat untuk memfailkan hujahan ringkas berhubung persoalan undang-undang yang dikemukakan.
“Mahkamah selanjutnya menetapkan keputusan taksiran ganti rugi pada 8 Julai ini manakala hujahan perlu difailkan dalam tempoh dua minggu,” ujarnya kepada pihak media selepas prosiding itu yang dijalankan secara dalam talian.
Hari ini ditetapkan untuk pendengaran prosiding taksiran ganti rugi berhubung kes saman Rosmah terhadap Ku Muhammad Hilmie berkaitan rakaman video yang mengaitkan beliau dengan amalan ilmu hitam.
Pada 28 Mei 2024, media melaporkan, Rosmah memperoleh penghakiman ingkar dari Mahkamah Tinggi selepas pemilik akaun TikTok itu gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan.
Pada 19 September 2023, Rosmah menyaman Ku Muhammad Hilmie kerana membuat kenyataan dalam video yang mencemar nama baik dan reputasinya selain memberi gambaran beliau gagal mempraktikkan nilai-nilai Islam.
Dalam afidavit yang diikrarkannya bagi menyokong taksiran ganti rugi, Rosmah menyatakan, jumlah RM1 juta itu wajar kerana kenyataan fitnah tersebut merosakkan reputasi beliau.
Beliau memohon ganti rugi dengan mengambil kira status, latar belakang, pencapaiannya dalam masyarakat selain mempertimbang bahawa reputasi beliau sebagai figura yang dikenali serta penaung kepada beberapa badan amal di negara ini.
Afidavit yang difailkan pada 10 Oktober 2024 melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak itu antara lain menyatakan, kenyataan-kenyataan fitnah yang dimuatnaik defendan menjadi bualan hangat.
“Ekoran fitnah yang dimuatnaik itu, saya mengalami gangguan emosi dan kemurungan serta hilang keyakinan diri untuk tampil di khalayak ramai kerana risau dipersoal oleh orang ramai dan kenalan-kenalan saya.
“Selain itu, saya terpaksa memberi penjelasan kepada orang ramai dan rakan-rakan bagi mengelak salah faham setiap kali pernyataan mengenai kenyataan fitnah itu diutarakan kepada saya,” katanya. – MalaysiaGazette
















