Hussein (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai peralatan berkaitan polis di dalam but kereta tiga individu termasuk seorang bekas anggota polis yang ditahan berhampiran Lakefront Residence, Cyberjaya, kelmarin.

SEPANG – Tiga individu termasuk seorang bekas anggota polis ditahan kerana menyamar sebagai polis ketika terlibat dalam penggambaran sebuah drama tempatan di Cyberjaya pada 25 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek diberkas selepas ketua balai polis yang sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah secara rutin menahan mereka berhampiran Lakefront Residence.

“Ketika diperiksa, mereka sedang memunggah beberapa barangan ke dalam sebuah kenderaan dan hasil pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan berkaitan polis di dalam but kereta berkenaan termasuk senjata mainan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, di sini, hari ini.

Antara barangan yang dirampas termasuk kon polis, papan tanda sekatan jalan raya, uniform, beret, vest, but, gari, lampu amaran dan replika senjata api mainan seperti pistol dan raifal.

Siasatan mendapati, kesemua barangan tersebut digunakan dalam penggambaran drama tanpa sebarang kebenaran rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Hussein, ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 64 tahun merupakan pelakon sambilan yang menawarkan perkhidmatan lakonan kepada syarikat produksi, khususnya untuk watak sebagai anggota polis yang menjalankan sekatan jalan raya atau pemeriksaan.

“Salah seorang suspek merupakan bekas sarjan mejar yang telah bersara. Mereka dipercayai aktif dalam aktiviti ini sejak empat bulan lalu dan ketika ditahan, kesemua mereka baru sahaja selesai menjalani sesi penggambaran,” ujarnya.

Tambah beliau, penggunaan aset PDRM tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi keselamatan negara.

“Mana-mana pihak yang ingin menggunakan aset seperti ini perlu mendapatkan kelulusan rasmi daripada Bahagian Komunikasi Korporat Bukit Aman.

“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi turut memberi persepsi yang salah kepada masyarakat. PDRM akan terus komited memastikan imej pasukan tidak disalahgunakan dalam apa jua konteks,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast