KUANTAN – Biarpun baru berusia 6 tahun, Ibnu Ayden Ibnu Faizal tidak gentar untuk mengimamkan 370 jemaah semasa menunaikan solat Dhuha sempena program Little Haj Mega, di sini hari ini.
Pelajar dari Little Caliphs cawangan Balok itu teruja menjadi imam kepada kesemua peserta haji cilik di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan yang terlebih dahulu membuat persiapan awal bagi menyahut tugasan tersebut.
”Rasa seronok dapat jadi imam kepada kawan-kawan, dan semangat sebab ayah pun datang tengok hari ini. Banyak kali berlatih menghafaz dan betulkan bacaan.
”Biasa jadi imam di dalam kelas sahaja tapi kali ini jadi imam dalam masjid besar (Masjid Sultan Ahmad 1),” katanya.

Bapanya, Ibnu Faizal Ibrahim, 34, berkata, program LHM telah memberikan peluang kepada anak-anak untuk merasai suasana mengerjakan haji.
Program tersebut wajar diteruskan kerana membangkitkan semangat dan mendorong pelajar menyimpan cita-cita untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
Katanya, LHM memberikan pendedahan baik dalam meningkatkan minat kanak-kanak bagi mengerjakan latihan amali ibadat, selain dakwah berterusan kepada golongan muda.
”Walaupun program ini dilaksanakan secara tertutup, namun saya percaya ada ibu bapa yang sanggup hadir untuk menyaksikan sendiri anak mereka melakukan simulasi haji di sini hari ini seperti saya.
”Sebagai bapa memang teruja tengok anak berusaha berlatih dan membaiki bacaan termasuk membuat latihan simulasi haji,” katanya.
Seramai 370 peserta haji cilik berusia 6 tahun menyempurnakan simulasi haji LHM di Masjid Sultan Ahmad 1, di sini hari ini membabitkan 17 cawangan LC di pekan, Kuantan dan Rompin.

Luth Malique, 6, dari LC Balok juga berkongsi keterujaan menunaikan tawaf perdana sebanyak tujuh kali mengelilingi replika kaabah di masjid.
Luth bercita-cita untuk menunaikan haji dan mula membuat tabungan dengan menabung duit rayanya.
”Rasa seoronok bila sertai tawaf perdana secara beramai-ramai di masjid. Mamang nak pergi Mekah betul-betul, jadi kena simpan duit dari sekarang,” katanya.

Adik Naurah,6, pula menceritakan pengalaman rombongan naik bas dari Pekan sampai ke Kuantan dalam proses menunaikan simulasi haji.
”Buat latihan banyak kali dengan kawan-kawan sampai lancar bacaan. Nanti kena kumpul duit supaya dapat pergi cepat haji dengan keluarga,” katanya.
Peserta juga dibekalkan pasport haji bagi melengkapkan proses program simulasi haji cilik berkenaan. – MalaysiaGazette
















