KUALA LUMPUR – Pas melahirkan kebimbangan kedudukan dan peranan UMNO dalam strategi politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama melibatkan negeri Kelantan. Kelantan.
Ia susulan kenyataan terbaharu Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang langsung tidak menyebut BN mahupun UMNO dalam usaha menawan negeri itu.
Yang Dipertua Pas Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir mendakwa, dalam kenyataan itu, Wan Azizah mendakwa PKR mempunyai potensi untuk menawan Kelantan melalui semangat dan komitmen anak muda dalam partinya.
“Kenyataan Wan Azizah ini mungkin mahu menyuntik semangat pada jenteranya di Kelantan agar jangan terus malap.
“Tetapi PKR sahaja? Tak sebut PH. Tak sebut pun gabungan PH-BN?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Roslan menegaskan, kenyataan tersebut seolah-olah memperlihatkan agenda politik yang hanya melibatkan PKR, sekali gus mengetepikan rakan gabungan dalam kerajaan.
“Adakah Kelantan kini jadi negeri sasaran PKR tanpa perlu kepada BN-UMNO?.
“Adakah UMNO sudah tidak relevan di mata PKR di Kelantan? UMNO baru sahaja menang kerusi DUN Nenggiri merampasnya dari PN-Bersatu dalam PRK di sana tapi PKR seakan tak hargainya langsung.
“Makin sempit masa depan BN-UMNO sejak berkawan dengan PKR dan DAP nampaknya, macam mana sahabat?” katanya lagi.
Beliau turut memetik situasi di Melaka sebagai contoh, apabila DAP menuntut separuh daripada 28 kerusi DUN negeri itu untuk ditandingi, mencetuskan persoalan mengenai pengaruh sebenar BN dalam menentukan agihan kerusi.
Menurutnya, perkembangan ini menggambarkan PKR dan DAP kini memainkan peranan dominan, manakala UMNO dan BN hanya menumpang arus tanpa hala tuju jelas.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar UMNO segera menilai semula peranan dan pendekatan politiknya dalam gabungan sedia ada, agar tidak terus kehilangan sokongan akar umbi.
“UMNO jangan terus dimalukan dengan berkongsi pentas yang mereka bukan watak utama pun,” katanya. – MalaysiaGazette
















