KUALA LUMPUR – Siasatan terbuka sewajarnya dilakukan jika benar berlaku pembaziran dana Majlis Amanah Rakyat (Mara) seperti yang didakwa.
Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob berkata, beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak, malah tidak setuju dengan saman-menyaman, apatah lagi menggunakan dana Mara.
“Janganlah lagi hendak gunakan wang dana awam (Mara) untuk kos guaman bagi menjawab tuduhan atau mengugut pihak lawan.
“Dana awam adalah ‘Wang Rakyat’ yang sepatutnya digunakan untuk pelbagai perkara berfaedah seperti menambah lagi bilangan pelajar tajaan Mara, atau pemberian biasiswa atau bantuan kepada golongan bumiputera yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Namun, katanya, pandangan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati selaku Pengerusi PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) ada asasnya.
Katanya, Mas Ermieyati cuma menegur tentang cara dan tindakan Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang dilihat tidak kompeten dalam menguruskan beberapa perkara sehingga mungkin menjejaskan peruntukan pendidikan pelajar dan mungkin kewangan agensi itu sendiri.
Apatah lagi Asyraf Wajdi selaku Pengerusi Mara (jawatan bukan eksekutif) dilihat banyak mencampuri urusan eksekutif dan perbelanjaan pelbagai program (kecil atau mega) anjuran Mara.
“Contohnya boleh lihat di Gerik ni. Semua program beliau di sini menonjolkan penglibatan beliau sebagai Pengerusi Mara sampaikan merasmikan mesyuarat PIBG sekolah pun atas tiket Pengerusi Mara.
“Sedangkan kami ahli Parlimen dan ADUN tempatan, jangankan merasmikan mesyuarat PIBG, nak hadir sukan sekolah pun tak dibenarkan. Bagi bantuan pun di tepi pagar luar sekolah sahaja,” ujarnya.
Belum kira lagi pelbagai program, aktiviti, sumbangan dan jamuan termasuk jamuan Hari Raya, kerapkali dianjurkan di kawasan Gerik dan Pengkalan Hulu dan selalunya ada melibatkan agensi Mara.
Fathul Huzir berkata, semua pihak tahu Asyraf Wajdi selaku Setiausaha Agung UMNO ingin bertanding sekali lagi di Parlimen Gerik pada pilihan raya akan datang.
“Persoalannya, adakah polisi Mara membenarkan perkara sebegini? Saya yakin, tidak semua Lembaga Pengarah atau Pengurusan Mara bersetuju hanya Gerik menjadi tumpuan kerana Mara menguruskan ekonomi, kebajikan dan pendidikan bumiputera seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
“Malah, sehingga kini ramai juga yang bertanya, adakah beliau Pengerusi Mara Cawangan Gerik?
Fathul Huzir menabah, sebagai seorang yang sering melaungkan perlunya ketelusan, amanah dan kecekapan pentadbiran kepada staf-staf dan Pengurusan Mara, sepatutnya Asyraf Wajdi berani membuktikan kata-katanya.
Katanya, Asyraf Wajdi boleh memanggil siasatan terbuka atau meminta bukti dakwaan tersebut dan seumpamanya kepada Mas Emieryati.
“Dan saya rasa, adalah tidak menjadi kesalahan juga jika Mas Ermieyati selaku Pengerusi PAC memanggil Pengerusi Mara tersebut membentangkan kewangan Mara atau apa-apa persoalan tentang perbelanjaan Mara yang meragukan. Itu lebih baik!,” tambah beliau.
Rabu lalu, Asyaraf Wajdi menegaskan beliau akan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mas Ermieyati dalam masa terdekat.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Asyraf Wajdi meluahkan kekecewaan terhadap tuduhan yang menurutnya bertujuan untuk memburukkan imej institusi Melayu-Bumiputera itu. – MalaysiaGazette
















