BATU PAHAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup keluar lebih 1,300 ekor burung eksotik bernilai hampir RM100,000 ke negara jiran di perairan Tanjung Labuh, di sini, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, pihaknya menahan dua lelaki dan sebuah bot fiber dinaiki dalam operasi tersebut.
“Dalam kejadian pukul 1 pagi tadi itu, kedua-dua suspek yang berusia 26 dan 37 tahun ditahan ketika menaiki bot dalam keadaan mencurigakan.
“Tangkapan dibuat semasa operasi bersepadu Op Jaksa, Op Toda 2/2021 dan Op Tiris 3.0 oleh peronda Maritim Malaysia.
“Pemeriksaan mendapati terdapat 114 bakul berisi burung Murai Batu dan Murai Kampung dengan jumlah melebihi 1,300 ekor,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, suspek gagal mengemukakan dokumen kebenaran membawa keluar hidupan liar.
Menurut beliau, nilai rampasan termasuk bot fiber dan kesemua burung terbabit dianggarkan mencecah RM100,000.
Siasatan awal katanya, mendapati burung-burung itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran yang mempunyai permintaan tinggi terhadap spesies berkenaan, khususnya untuk tujuan peliharaan dan pertandingan.
“Sindiket dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggerakkan bot kecil pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.- MalaysiaGazette
















