Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Fuziah Salleh.

KUALA LUMPUR – PKR belum menerima permohonan rasmi Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai parti itu selepas meletakkan semua jawatan dalam UMNO, semalam.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, semua permohonan untuk menjadi ahli parti itu dilakukan melalui kaedah memohon secara dalam talian.

“Setiap permohonan akan melalui proses biasa di mana selepas permohonan dibuat secara atas talian, ia akan diproses dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya menerusi kenyataan.

Semalam, menerusi hantaran Facebook, Tengku Zafrul mengumumkan perletakan semua jawatan dalam UMNO membabitkan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahlian dalam parti itu, Tengku Zafrul turut menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklum kepada pimpinan tertinggi parti tersebut.

“Saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat,” ujarnya.

Menurut Fuziah, jika Tengku Zafrul memohon menyertai PKR, ia akan dipertimbangkan sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang termasuk pandangan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta pendapat akar umbi.

Sementara itu, Fuziah berkata, beliau dimaklumkan Tengku Zafrul akan menunaikan ibadah haji.

“Keadilan mendoakan agar beliau selamat pergi dan kembali serta memperoleh haji yang mabrur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast