KOTA TINGGI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kereta yang terbabas masuk ke laluannya di Kilometer 37 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, malam tadi.

Mohd Fakhri Paraman yang berusia 31 tahun beralamat di Felda Tunggal, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 11 malam tadi.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam dengan sebuah motosikal SYM VF3i yang ditunggang mangsa iaitu seorang lelaki tempatan.

“Insiden dipercayai berlaku apabila kereta dipandu juga oleh seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan yang dilalui motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat pertembungan tersebut penunggang motosikal parah di pelbagai bahagian badan sebelum maut di lokasi kemalangan.

Menurut beliau, pemandu kereta juga dilaporkan parah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, Yusof menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Johor Bahru-Mersing, Kluang malam tadi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast