KUALA LUMPUR – Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 yang sedang berlangsung di Tokyo, Jepun mungkin merupakan penyertaan terakhir Dr. Mahathir Mohamad pada forum tersebut.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak pernah terlepas menghadiri forum tahunan itu sejak ia dianjurkan 30 tahun lalu.
“Sepanjang gtahun tersebut, saya terlepas tiga kali kerana tidak sihat dan larangan Covid.
“Ini mungkin merupakan penyertaan terakhir saya pada forum ini, tetapi saya menikmatinya kerana ia menyediakan platform untuk berkongsi idea dan fikiran mengenai masa depan Asia.
“Saya berharap Forum Nikkei mengenai Masa Depan Asia terus berjaya ,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Mengenai Dasar Pandang ke Timur yang dirintis beliau, Dr. Mahathir berkata, ia adalah sesuatu yang berbaloi untuk Malaysia melihat kepada Jepun.
Katanya, beliau mendapati industri Jepun secara konsisten melakukan penyelidikan produk baharu termasuk rawatan penyakit.
“Saya mengagumi budaya kerja Jepun,” ujarnya.
Dasar Pandang ke Timur merupakan dasar ekonomi yang dilancarkan Dr Mahathir pada 8 Februari 1982 ketika beliau baharu menjadi Perdana Menteri pada 1981. – MalaysiaGazette














