KUALA LUMPUR – Penyertaan Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan sebagai satu langkah strategik yang mampu memperkukuh kekuatan parti dalam menghadapi cabaran masa depan.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, perbincangan mengenai kemasukan Tengku Zafrul telah berlangsung sejak lebih setahun lalu, dan ia dibuat menerusi proses yang matang dan penuh pertimbangan.
“Saya berpandangan penyertaan Tengku Zafrul, yang difahamkan telah berbincang lebih setahun lalu untuk menyertai Keadilan mampu membuka ruang untuk menarik sokongan lebih meluas kepada parti dalam usaha membina sebuah negara yang lebih progresif, adil dan inklusif,” katanya dalam laman sosial beliau hari ini.
Katanya, langkah ini selaras dengan komitmen PKR yang sentiasa mengangkat politik berasaskan idea, kepakaran dan integriti sebagai asas perjuangan.
Tambahnya, keterbukaan menerima tokoh profesional seperti Tengku Zafrul adalah bukti bahawa parti itu terus berkembang sebagai wadah politik yang matang, inklusif dan bersedia memimpin masa depan negara.
Namun begitu, Kamil turut menekankan bahawa setiap proses permohonan keahlian mestilah melalui prosedur yang ditetapkan, seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Agung parti. -MalaysiaGazette
















