KUALA LUMPUR – Jalan paling mudah untuk memanfaatkan potensi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selepas berakhirnya tempoh Senator beliau adalah dengan melantiknya bagi jawatan penting bertaraf menteri.
Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, sebagai contoh, Tengku Zafrul boleh dilantik sebagai penasihat pelaburan atau kewangan kepada Perdana Menteri bertaraf menteri.
Jelas beliau, ia adalah salah satu pilihan yang ada untuk memanfaatkan potensi Tengku Zafrul sementara menunggu pilihan raya tiba bagi membolehkan beliau bertanding semula sama ada di peringkat Persekutuan atau di Selangor.
“Kita pernah ada Duta Khas PM ke Timur Tengah bertaraf menteri sebelum ini, rasanya boleh untuk lantik Tengku Zafrul sebagai penasihat khas PM bertaraf menteri juga selepas ini, apatah lagi sudah terbukti beliau berprestasi tinggi dan mampu menyumbang secara berbaloi,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook malam tadi.

Hala tuju Tengku Zafrul dalam Kabinet selepas ini menjadi tanda tanya berikutan lantikan beliau sebagai Senator kali kedua pada Disember 2022 akan berakhir Disember depan.
Selain itu, kedudukan Tengku Zafrul dalam politik juga menjadi tanda tanya ketika ini selepas beliau mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu, Mohd. Yusri yang juga Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT secara peribadi berpandangan, Tengku Zafrul merupakan antara menteri yang berprestasi tinggi.
Jelasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sering dilihat sentiasa `memanfaatkan’ Tengku Zafrul khususnya terkait ekonomi, pelaburan, lawatan-lawatan ke luar negara serta ketika kunjungan delegasi luar ke Malaysia.
“Pendeknya keberadaan beliau dalam kabinet adalah berbaloi, sebagai pembayar cukai kita tidak ralat membayar saraan kepada beliau,” katanya.
Sementara itu, berhubung keputusan Tengku Zafrul keluar UMNO dan menyatakan hasrat menyertai PKR, Mohd Yusri berkata, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan desas-desus berkenaan perkara tersebut sudah lama kedengaran.
Bagaimanapun, ujar beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar perlu menguruskan isu tersebut sebaik mungkin supaya tidak diambil kesempatan oleh segelintir pemimpin untuk mencetuskan sensasi politik.
Menurutnya, keutamaan tertinggi dalam mendepani isu itu adalah mengekalkan kestabilan kerjasama parti-parti Kerajaan Perpaduan kerana faktor tersebut sangat penting dalam menentukan kestabilan politik Malaysia.
“Mereka berdua (Ahmad Zahid dan Anwar) perlu mengambil penengah paling unggul supaya pelepasan Zafrul ini dilihat cukup bermaruah dan terhormat kepada UMNO.
“Lagipun tiada keperluan untuk UMNO mempertahankan Zafrul, cinta mereka telah pudar, asmara mereka sudah tiada berahi,” katanya. – MalaysiaGazette
















