Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf kepada para penumpang tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang yang terkesan akibat kelewatan operasi tren susulan kerja-kerja menaik taraf sistem semboyan yang sedang dilaksanakan di antara Stesen Kepong hingga Stesen Salak Selatan yang telah bermula 30 Mei lalu.

Berikutan ini, KTMB akan memberikan diskaun tambang perjalanan kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang sebanyak 50% untuk semua jenis tiket termasuk kategori konsesi selama dua (2) hari bermula 3 Jun hingga 4 Jun Jun 2025.

Penumpang ETS yang terkandas di beberapa lokasi seperti Stesen KL Sentral juga telah dibekalkan dengan air minuman dan makanan ringan serta notifikasi kelewatan melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) telah dihantar kepada para penumpang.

Kakitangan KTMB di stesen-stesen utama juga telah ditempatkan bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar.

Ketika ini, perkhidmatan tren yang mengalami kelewatan adalah seperti berikut:

Perkhidmatan ETS
a) Kesemua perkhidmatan ETS laluan KL Sentral – Butterworth, KL Sentral – Padang Besar, Segamat – Padang Besar, Segamat – Butterworth mengalami kelewatan melebihi 120 minit.

KTM Komuter Lembah Klang
a) Laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang; b) Laluan Tanjung Malim – KL Sentral – Tanjung Malim;

Kerja-kerja naik taraf sistem semboyan ini dijangka siap sepenuhnya pada 2 Jun 2025.

Ia adalah sebahagian daripada kerja-kerja naik taraf di bawah projek Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang 1 (KVDT 1) untuk memastikan sistem semboyan yang lebih cekap, selamat dan mampu menyokong operasi tren penumpang yang semakin meningkat di Lembah Klang.

Penumpang disarankan agar merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf ini serta sentiasa menyemak jadual terkini melalui aplikasi KTMB Mobile dan laman sesawang MyRailtime dan mengikuti perkembangan semasa melalui saluran media sosial rasmi KTMB. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast