KUANTAN – Akibat gelap mata tawaran pulangan lumayan, seorang jururawat di Temerloh kerugian RM107,810.01 akibat terpedaya pelaburan tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa merupakan wanita berusia 52 tahun.
“Pada awal tahun ini mangsa telah tertarik dengan satu iklan pelaburan di laman Facebook menggunakan nama “IQ Option” dan seterusnya menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa dijanjikan pulangan lumayan sebanyak RM12,000.00 selepas melabur sebanyak RM350.00,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak menerima sebarang keuntungan selepas pelaburan pertama dibuat.
Tambahnya, mangsa kemudiannya diminta membuat beberapa bayaran tambahan dan telah melakukan 16 transaksi ke dalam lapan akaun bank berbeza dalam tempoh antara 23 Mei hingga 28 Mei baru-baru ini.
Mangsa kemudian menyedari terpedaya selepas kerugian lebih RM100,000 yang merupakan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya dan membuat laporan polis.
“Jangan mudah terpengaruh dengan Skim Pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.
“Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















