JOHOR BAHRU – Bella dan tujuh rakan lelakinya yang sebelum ini mengaku bersalah atas empat pertuduhan termasuk mengugut membunuh, ugutan memukul serta pemerasan terhadap seorang lelaki April lalu, menukar pengakuan mereka di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Bella atau nama sebenarnya Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, bersama-sama tujuh lagi individu mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan semula terhadap mereka di hadapan Majistret A Shaarmini.
Tujuh tertuduh lain dikenal pasti sebagai Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20; dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19.
Bagi pertuduhan pertama, kesemua tertuduh berkenaan termasuk Bella bersama-sama dua lagi yang masih bebas dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22, bahawa mereka tidak akan berhenti memukul mangsa sehingga dia bersetuju membayar wang RM3,000.
Inu mendorong mangsa menyerahkan wang RM650 dan kunci motosikal Yamaha Y16 kepada tertuduh Mohammad Amierul Hakim.
Bagi pertuduhan kedua pula, tujuh individu berkenaan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Faris Syahmi, dengan seorang lagi masih bebas.
Bella bagaimanapun tidak didakwa atas pertuduhan pindaan kedua itu.
Bagi pertuduhan ketiga pula, kesemua tertuduh termasuk Bella serta dua lagi yang masih bebas, mengaku tidak bersalah atas dakwaan secara bersama-sama mengurung mangsa.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid pula, lapan individu berkenaan termasuk Bella turut menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas pertuduhan keempat iaitu secara bersama-sama menakutkan secara jenayah terhadap Muhammad Faris Syahmi dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.
Kesemua kesalahan berkenaan dilakukan mereka di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai di sini antara pukul 10 malam hingga 4 pagi, pada 18 hingga 19 April lalu.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506; Seksyen 384 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Nur Fatihah Mohd Nizam dan Nik Noraini Nik Azman.
Tertuduh ketujuh, Syamsul Hamiziey diwakili peguam Nurul Nadia Yunos; tertuduh kelima, Mohamad Amierul Hakim diwakili T Haressh manakala tertuduh pertama dan kedua, Muhammad Aqmal Hafifi dan Ahmad Rushdi Jumadi pula diwakili Khairulazwad Sariman dan Syahmi Nawawi.
Bella selain Muhammad Nur Shafiq; Muhammad Haikal; Mohamad Danish Hakim dan Syamsul Hamiziey, pula tidak diwakili peguam.
Kesemua tertuduh dan keempat-empat kes berkenaan juga diperintahkan untuk dibicarakan bersama, hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Majistret Nur Fatin membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 18 Julai depan untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh yang masih tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan jaminan ke atas tertuduh diteruskan dengan ketetapan prosiding terdahulu.
Pada 25 April lalu, Bella dan tujuh lelaki dilaporkan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan termasuk melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan ugutan bunuh, serangan berkumpulan dan mengurung seorang lelaki secara salah, minggu sebelumnya.
Media melaporkan semua suspek ditahan pukul 2.30 pagi 21 April lalu, ketika cuba melarikan diri dari Pangsapuri Plentong Baru Masai, Pasir Gudang di sini.
Sebelum ini, tular dalam media sosial beberapa klip video, memaparkan seorang pemuda longlai selepas dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki di dalam sebuah rumah yang dipercayai berlaku di Pasir Gudang.- MalaysiaGazette
















