KUALA LUMPUR – Persatuan Ping Pong Selangor (PPPS) mendakwa pengambilalihan pucuk pimpinannya dilakukan pihak tertentu tanpa melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang sah pada 3 Mei lalu.

Naib Presidennya, Datuk Dr Paul Lee Kok Sun berkata, meskipun pihaknya sudah menghantar surat aduan sebanyak tujuh kali melalui emel kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) sejak 7 Mei lalu, namun masih tiada jawapan

“Tindakan pihak tersebut jelas bercanggah dengan perlembagaan persatuan dan semangat demokrasi dalam tadbir urus sukan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan surat aduan rasmi mengenai perkara itu kepada pejabat PSM meminta maklum balas insiden sabotaj tersebut.

Sebelum ini, PPPS turut membuat laporan mengenai perkara tersebut di Balai Polis Klang Selatan pada 6 Mei lalu.

Lee Kok Sun berkata, pihaknya menuntut siasatan terperinci dijalankan oleh PSM terhadap pelanggaran yang berlaku.

“Namun, sehingga kini tiada sebarang respons, penjelasan atau tindakan susulan diterima daripada pihak PSM.

“Ini adalah satu bentuk penindasan dan pencabulan terhadap prinsip keadilan serta ketelusan dalam pengurusan persatuan sukan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pengambilalihan kuasa yang melanggar peraturan ini boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan oleh badan autoriti.

“PPPS juga mempersoalkan peranan dan kebertanggungjawaban badan PSM dalam menangani kemelut dan isu integriti dalam persatuan sukan, khususnya apabila bukti dan aduan telah dikemukakan berkali-kali.

“Ketidakadilan ini amat mengecewakan dan menjejaskan moral ahli-ahli persatuan. 

“PPPS akan terus menuntut keadilan dan tidak teragak-agak untuk membawa isu ini ke peringkat lebih tinggi termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta mengambil tindakan undang-undang jika perlu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast