KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada pada landasan yang tepat untuk bandar pintar dengan negeri telah mula melaksanakan inisiatif digital dan mewujudkan pusat kawalan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelbagai pendekatan digital telah diterapkan di negeri yang dilawatinya seperti Pulau Pinang, Selangor, Sarawak dan Putrajaya bagi meningkatkan perkhidmatan awam dan kualiti hidup rakyat.
“Contohnya di Pulau Pinang, kita boleh lihat bagaimana mereka mengaplikasikan teknologi melalui pusat kawalan serta penggunaan aplikasi ‘Pearl’ yang membolehkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan dengan lebih mudah.
“Di negeri-negeri lain juga, pusat kawalan serupa telah diwujudkan,” katanya kepada media selepas pelancaran Majlis Smart City Expo Kuala Lumpur 100 Days LauncH (SCEKL25), di sini, hari ini.

Menurut Gobind, kementeriannya sedang menimbang penubuhan sebuah Pusat Kawalan Nasional yang akan menyatukan dan memantau kesemua bandar pintar di negara ini.
“Kita akan bincangkan perkara ini dengan Datuk Bandar serta kepimpinan tempatan setiap negeri, bagi merangka pendekatan yang lebih sistematik,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya juga merancang untuk mengadakan sidang meja bulat yang menghimpunkan semua Datuk Bandar bagi tujuan berkongsi pengetahuan selain mewujudkan kerjasama dalam memastikan pembangunan bandar pintar berjalan lancar. – MalaysiaGazette
















