PASIR GUDANG – Seorang penunggang motosikal menghembuskan nafas terakhir selepas 10 hari bertarung nyawa di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki itu meninggal dunia pada pukul 2.14 petang di Unit Kecemasan HSI.
Beliau memberitahu, sebelum itu mangsa menunggang motosikal sebelum terbabas dan hilang kawalan di Jalan Cendana, Taman Cendana di sini pukul 4.30 petang, 26 Mei lalu.

“Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 49 tahun dalam perjalanan dari Taman Cendana ke Kota Masai untuk pulang ke rumah, hilang kawalan lalu terbabas jatuh di atas jalan.
“Mangsa mendapatkan rawatan awal di klinik berhampiran akibat cedera di tangan kanan dan kepala, sebelum dibawa ambulans ke HSI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan, saksi kejadian boleh salurkan maklumat kepada polis 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















