Crime thrives in moments where individuals fail to anticipate consequences. File picture

KUALA LUMPUR – Dua individu bergelar Datuk direman sehingga esok bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan 80 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, ketika kejadian, kumpulan jemaah berkenaan sedang menunggu ketibaan salah seorang suspek di KLIA kononnya untuk menerima visa haji.

Individu tersebut dikatakan akan menyerahkan visa yang membolehkan mereka (jemaah) berlepas ke Tanah Suci. Namun visa yang dijanjikan tidak pernah diperoleh.

“Salah seorang mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas mendakwa menyerahkan pasport antarabangsa miliknya dan isteri kepada dua individu yang menawarkan pakej haji percuma,” katanya.

Jelas beliau, pakej itu didakwa dikendalikan sebuah agensi pelancongan yang kononnya berdaftar sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 2025, dengan janji berangkat ke Mekah pada 1 Jun lalu. 

Namun sehingga 3 Jun, tiada sebarang pengesahan penerbangan diterima.

Mangsa turut menyuarakan kebimbangan kemungkinan maklumat peribadi dan pasport mereka disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

“Hasil siasatan awal mendapati sebanyak tujuh laporan polis telah diterima setakat ini melibatkan kes yang sama. Namun, tiada kerugian kewangan dilaporkan memandangkan pakej haji ditawarkan secara percuma,” jelasnya.

Dalam pada itu, PDRM turut menafikan laporan media yang mendakwa pihaknya menahan 80 orang jemaah haji yang menggunakan visa pelancong ke Mekah sambil menjelaskan maklumat tersebut tidak benar.

Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 36 dan 39 tahun ditahan pasukan petugas khas Op Haji Terkandas untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast