KUALA LUMPUR – MCA menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkaitan isu penggunaan gas petroleum cecair (LPG) oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelaksanaan Ops Gasak masih samar.
Malah, kenyataan itu turut persoalan dalam kalangan peniaga serta masyarakat umum kerana ketiadaan definisi jelas bagi istilah “perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil” oleh pihak kementerian.
Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low mempersoalkan siapakah sebenarnya perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil yang dimaksudkan.
“Adakah mereka diukur melalui penggunaan gas atau hasil pendapatan mereka? Adakah definisi ini akan ditentukan oleh pihak penguatkuasa yang menjalankan Ops Gasak?,” soalnya dalam kenyataan.
Lawrence yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi dan PKS MCA berkata, penjelasan terperinci daripada pihak KPDN amat penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau ketidakadilan dalam pelaksanaan penguatkuasaan.
Dalam pada itu, MCA turut mempersoalkan tindakan KPDN yang tidak mengarahkan Petronas menarik balik surat bertarikh 30 April 2025, yang melarang pembekalan LPG bersubsidi kepada premis komersial.
“Mengapa KPDN tidak mengarahkan Petronas menarik balik surat bertarikh 30 April 2025, yang melarang pembekalan LPG bersubsidi kepada premis komersial? Arahan ini menjadi punca utama kekeliruan dan tekanan kepada para peniaga kecil,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, adalah tidak mustahil tekanan terhadap PKS akan berterusan secara senyap sekiranya MCA tidak bersuara membangkitkan isu ini. – MalaysiaGazette
















