KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap peningkatan kes-kes penipuan pakej haji yang melibatkan umat Islam di Malaysia.
Lantaran itu, baginda menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji dengan mengambil kesempatan untuk menipu umat Islam.
Lebih menyedihkan baginda, apabila pihak yang mengeksploitasi ini adalah dari kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi.
Oleh itu, baginda menyeru agar umat Islam sentiasa memelihara kesucian ibadah haji dengan memastikan setiap urusan dibuat dengan ejen dan syarikat yang berlesen serta diiktiraf oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan urusan haji dan umrah.
Dalam pada itu, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengutus ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1446H kepada seluruh umat Islam di Selangor khususnya, dan di Malaysia amnya.
Baginda berdua berharap sempena Aidiladha kali ini, sekalian umat Islam mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’ala dan melaksanakan ibadah korban demi membantu yang miskin serta menginsafi nasib golongan yang lebih daif.
Baginda turut mendoakan agar jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci dapat melakukan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan haji yang mabrur seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat. – MalaysiaGazette














