KUALA LUMPUR – Sebuah bot kargo tempatan yang membawa muatan petrol ditahan kerana tidak memiliki kontrak insurans.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, bot terbabit ditahan di lokasi 26.6 batu nautika barat muara Kuala Besut, Terengganu pukul 1.28 tengahari, Khamis lalu.
Katanya, bot dinaiki tekong dan dua awak warga tempatan berusia antara 20 dan 40 tahun itu dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan petrol ke Pulau Redang, Kuala Nerus.
“Ketika melakukan rondaan Op Iman di perairan berkenaan, bot maritim Perkasa 48 terserempak dengan bot kargo yang membawa muatan tong berisi bahanapi sebelum menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.
“Kita mendapati bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah ordinan Perkapalan saudagar 1952 kerana tidak mempunyai kontrak insuran semasa beroperasi,” katanya dalam kenyataan.
Hamiludin menjelaskan, pemilikan insurans maritim bukan sahaja satu keperluan perundangan, malah penting bagi menjamin keselamatan kru, aset dan perairan negara daripada sebarang risiko yang tidak diingini.
Tambahnya, bot terbabit bersama tekong dan dua kru dibawa ke Jeti Pos Maritim Kuala Besut untuk siasatan lanjut.
Sehubungan beliau menegaskan agar semua pengusaha perkapalan dan pemilik bot memastikan dokumen dan perlindungan insurans maritim sentiasa dikemaskini serta mematuhi peraturan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette















