KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO menyifatkan sekatan perjalanan terhadap Fahmi Reza memang pelik dan tambah pelik bila baca kenyataan Pejabat Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi berkata, kerajaan mesti ada akauntabiliti.
“Jangan tolak sana tolak sini. Ambil tindakan pada mereka yang cuai,” katanya dalam hantaran di sini hari ini.
Oleh itu, tegas beliau, kerajaan mesti melakukan segera reformasi institusi supaya lebih telus dan konsisten.
Lagipun, sukar mempercayai wujud masalah komunikasi antara Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Apakah penjelasan PDRM itu hanya “face saving.” Kes seperti ini banyak berlaku,” ujarnya apabila bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli juga mendakwa dua kali disekat keluar untuk menunaikan umrah atas permintaan suruhaanjaya itu.
Sedangkan, Dzulkifli tidak pernah dituduh, didakwa atau disiasat.
Jumaat lalu, Fahmi Reza mendakwa dihalang untuk ke luar negara selepas disenarai hitam dari memasuki Sabah baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook berkata, dia baru mengetahui mengenai perkara itu selepas dimaklumkan pegawai imigresen ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Singapura.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian mengarahkan polis untuk menyemak isu larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap Fahmi.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara berkata, tiada sebarang sekatan rasmi yang dikenakan terhadap aktivis tersebut, sebaliknya terdapat kekeliruan yang berlaku semasa proses semakan di pintu keluar negara terhadap aktivis berkenan sehingga menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat. – MalaysiaGazette















