KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi nahas bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, awal pagi tadi.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tragedi itu menyentap perasaan masyarakat kerana ia melibatkan anak-anak muda yang dalam perjalanan menimba ilmu, membawa harapan keluarga dan masa depan negara.
“Kehilangan mereka adalah kehilangan kita bersama.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang dan seluruh rakyat negeri ini, saya melahirkan rasa simpati yang amat mendalam kepada keluarga mangsa,” katanya menrrusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, seramai 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang mereka naiki berlanggar dengan kereta Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, berhampiran Tasik Banding.
Wan Rosdy berharap ahli keluarga terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat itu.
















