Tram Sarong di Budapest menghimpunkan sekitar 90 peserta terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Hungary, kakitangan kedutaan, ahli keluarga serta para diplomat ASEAN. Kredit: Kedutaan Malaysia di Budapest

KUALA LUMPUR – Di tengah-tengah kota di Eropah yang terkenal dengan seni bina klasik dan sejarahnya, satu pemandangan luar biasa mencuri perhatian penduduk tempatan dan pelancong baru-baru ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Budapest telah berjaya membawa secebis Malaysia ke bumi Hungary melalui penganjuran acara Tram Sarong iaitu sebuah inisiatif menggabungkan elemen warisan, kebersamaan dan cinta terhadap budaya.

Diilhamkan daripada acara Keretapi Sarong yang saban tahun mewarnai sistem pengangkutan awam di Malaysia, Tram Sarong di Budapest menghimpunkan sekitar 90 peserta terdiri daripada rakyat Malaysia menetap di Hungary, kakitangan kedutaan, ahli keluarga serta para diplomat ASEAN.

Uniknya masing-masing berpakaian tradisional seperti kebaya, baju kurung, batik dan kain pelikat berwarna-warni.

Suasana meriah itu berlangsung di dalam Tram Line 2, laluan trem paling ikonik di Budapest yang menyusuri Sungai Danube menawarkan pemandangan menakjubkan termasuk Bangunan Parlimen Hungary, Buda Castle, Chain Bridge dan Gellert Hill.

Untuk makluman, trem yang sering disebut sebagai antara laluan tercantik di Eropah, berubah wajah menjadi sebuah ‘muzium budaya bergerak’ memperkenalkan pesona warisan Malaysia kepada dunia luar.

Menurut Pemangku Duta Malaysia ke Hungary, Vanitha Gopalakrishnan, acara itu merupakan usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia yang jauh dari tanah air sambil memperkenalkan nilai-nilai kebudayaan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

“Kami ingin membawa secebis Malaysia ke Hungary dengan cara yang menyatukan budaya dan keindahan. Kebaya bukan sekadar pakaian ia lambang anggun, tradisi dan identiti serantau Asia Tenggara. Kami amat berbangga dapat memperkenalkannya di Budapest,” ujar beliau.

Sambutan kali ini juga bertepatan dengan pengiktirafan kebaya oleh UNESCO bertemakan Intangible Cultural Heritage of Humanity pada 4 Disember tahun lalu.

Ia bukan sekadar digayakan ia diraikan sebagai warisan bersama rantau Asia Tenggara yang perlu terus dipelihara dan dihargai.

Antara peserta yang kelihatan anggun dan bersemangat ialah Dr Daniela Selvam, seorang rakyat Malaysia yang telah menetap di Budapest setelah berkahwin.

Berkongsi pengalamannya, beliau berkata, dirinya  teruja dan bangga untuk mempamerkan keindahan serta keunikan Malaysia di mata dunia.

Dr Daniela(paling kiri)

“Sebagai rakyat Malaysia, ia satu kegembiraan dan penghormatan untuk menyertai sambutan yang penuh warna-warni ini. Kami menaiki Tram 2, trem paling indah yang menyusuri Sungai Danube sambil mengenakan kain sarung tradisional, menyanyi lagu-lagu rakyat kegemaran tanah air dan menikmati hidangan Malaysia yang kami rindui.

“Perasaan membawa sebahagian daripada ‘rumah’ ke tengah-tengah Budapest begitu menyentuh hati. Ramai yang lalu lalang terpikat dengan penampilan kami, tersenyum dan tertanya-tanya tentang budaya yang kami tonjolkan.

“Budaya kita menyentuh hati mereka. Saya berasa amat bangga mewakili Malaysia di sini,” katanya.

Kemuncak acara, trem yang membawa semangat Nusantara itu berhenti di hadapan Bangunan Parlimen Hungary dengan peserta mengambil gambar berkumpulan sambil menikmati hidangan tradisional Malaysia seperti kuih-muih, nasi lemak dan teh tarik  melengkapkan pengalaman budaya negara kita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast