KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Perak bimbang dengan tindakan pihak berkuasa yang menyiasat pemangku presiden parti itu, Amira Aisya Abdul Aziz berikutan penyertaannya pada himpunan Undur Azam Baki, baru-baru ini.
Pengerusinya, VKK Rajasekaran Teagarajan menyifatkan ia sebagai satu bentuk penindasan politik yang jelas.
“MUDA Perak ingin menegaskan bahawa kenyataan dan tindakan YB Amira adalah dalam ruang lingkup demokrasi yang sah, bersifat komentar politik terhadap isu awam yang menjadi perhatian rakyat,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa menyertai himpunan tersebut atas kapasitinya secara demokrasi dan memperjuangkan prinsip akauntabaliti an integriti.
Terdahulu Rajasekaran berkata, Amira mengesahkan akan memberi keterangan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).
Menurut beliau, berdasarkan perundangan, Seksyen 233 AKM diwujudkan untuk menangani kandungan lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyakitkan hati dengan niat untuk mengganggu, mengugut, atau menghasut.
Manakala Seksyen 504 Kanun Keseksaan pula menyasarkan penghinaan yang berkemungkinan besar mencetuskan
gangguan awam atau kekacauan fizikal.
Rajasekaran mendakwa, Amira hanya menyertai himpunan yang tidak bersifat menghasut atau mengganggu ketenteraman awam.
“Lebih membimbangkan, kes ini mencerminkan pola pendakwaan terpilih. Ramai wakil rakyat pembangkang, wartawan, dan aktivis disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 233, manakala kenyataan yang melampau dan bersifat 3R daripada pimpinan tinggi parti politik daripada (Barisan Nasional) BN & PH (Pakatan Harapan) sering dilepaskan tanpa sebarang tindakan.
Sehubungan itu katanya, MUDA Perak menuntut agar siasatan dan pendakwaan terhadap Amira dihentikan serta-merta.
“Tindakan beliau adalah berasaskan kenyataan politik yang sah dan penyertaan dalam acara awam yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Penguatkuasaan undang-undang mesti berlaku secara adil dan saksama tanpa mengira kedudukan politik, selaras dengan jaminan kebebasan bersuara seperti yang termaktub di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















