Kunjungan hormat Presiden TI-Malaysia, Raymond Ram di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

KUALA LUMPUR –  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Transparency International Malaysia (TI-M) menyokong penuh usaha penambahbaikan Akta Pemberi Maklumat yang sedang giat dirancang dan dilaksanakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM komited memastikan identiti pemberi maklumat dan maklumat yang disampaikan dirahsiakan serta tidak didedahkan setelah pemberi maklumat itu memenuhi syarat-syarat termaktub dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa Eksekutif TI-M diketuai Presidennya, Raymon Ram di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Raymon Ram berkata, TI-M telah mengusulkan kepada BHEUU untuk melihat kepada beberapa seksyen dalam akta tersebut yang bercanggah dengan undang-undang lain dan menyebabkan perlindungan kepada seseorang pemberi maklumat itu terlucut.

Pada kunjungan hormat tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan perkara yang menjadi perhatian dan kebimbangan bersama iaitu berkenaan pendanaan aktiviti politik dan pemerkasaan Integrity Pact di Malaysia.

Kedua-dua pihak juga menekankan kepentingan Integrity Pact, pelaksanaan pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) MS ISO 37001 dan pengisytiharan pemunya benefisial oleh semua petender serta syarikat yang menyertai perolehan kerajaan berdasarkan garis panduan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dilihat mampu untuk mencegah amalan rasuah dan penipuan bagi proses perolehan dalam kalangan pembekal kerajaan.

Azam berkata, pemerkasaan langkah itu juga adalah antara strategi termaktub di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 untuk meningkatkan integriti, memerangi amalan rasuah serta mengelak sebarang isu berkaitan konflik kepentingan.

Pada pertemuan itu juga, Raymon turut menyerahkan buku Garis Panduan Amalan Baik dan Senarai Semak untuk Tatacara Mencukupi kepada Tan Sri Azam yang diterbitkan oleh TI-M khusus untuk konteks Malaysia daripada buku Panduan Prosedur yang mencukupi Akta Rasuah UK 2010 terbitan Transparency International UK (TI-UK).

Menurutnya, senarai semak ini bertujuan membimbing organisasi komersial mengenai pelaksanaan program antirasuah dan rasuah secara holistik yang meliputi tindakan pekerja dan juga rakan sekutu dalam rangkaian pihak berkepentingan organisasi.

Pertemuan itu juga adalah sempena dengan pelantikan Raymon Ram sebagai Presiden TI-M yang baharu bagi penggal 2025-2027 dan disertai Timbalannya, Chew Phye Keat; Setiausaha Agung, Nuridzuana Ismail dan Bendahari, Dr Geetha Rubasundram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast