Apa yang menjadikan MPS 2025 benar-benar menonjol adalah nilai ‘by students, for students’ yang menjadi teras penganjuran. 

KUALA LUMPUR – Lebih 300 tetamu dijangka bakal memeriahkan Malam Perdana Sembilan (MPS) 2025 anjuran Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin, Universiti Malaya (UM) yang akan berlangsung penuh gemilang di Royale Chulan Damansara pada 22 Jun ini.

Majlis berprestij itu bukan sahaja meraikan pencapaian pelajar cemerlang dalam bidang akademik, kepimpinan dan kesukarelawanan malah turut menampilkan kreativiti mahasiswa melalui persembahan seni, muzik dan penganjuran bertaraf profesional.

Apa yang menjadikan MPS 2025 benar-benar menonjol adalah nilai by students, for students yang menjadi teras penganjuran. 

Pelajar diberi ruang penuh untuk mengatur hala tuju program, memilih tema, merancang majlis dan memastikan setiap inci pengalaman malam itu menyampaikan naratif perjuangan dan semangat mahasiswa. 

Pengetua Kolej Kediaman Kesembilan, Mohd Hairolnezam Kahmis menyifatkan MPS sebagai simbol penghargaan kepada nilai sahsiah dan integriti pelajar.

“MPS memberi pengiktirafan bukan hanya kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga kepada nilai kepimpinan dan semangat berkomuniti yang ditonjolkan pelajar,” katanya.

Persembahan kemuncak oleh penyanyi terkenal, Ara Johari menjadi tarikan utama pada malam tersebut disusuli dengan persembahan pelajar sebagai identiti acara.

Sementara itu, Presiden Kolej Kesembilan, Nur Akil Shamil Mohamed berkata, MPS 2025 membuktikan mahasiswa mampu menguruskan acara berskala besar dengan standard industri.

“Acara ini adalah bukti mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai pelajar malah mampu bertindak sebagai pengurus, perancang dan pemimpin,” katanya.

Selain itu,  Pengarah Program, Ammar Aizat Ahmad Termizi berkata, perancangan MPS bermula sejak awal tahun dan digerakkan sepenuhnya oleh mahasiswa yang bertanggungjawab mengendalikan semua aspek termasuk logistik, protokol, bajet, rekaan visual dan kerjasama industri.

“Kami mahu membuktikan dengan ruang dan kepercayaan, mahasiswa boleh mencipta sesuatu yang luar biasa. MPS bukan sekadar majlis anugerah tetapi medan latihan kepimpinan sebenar,” katanya.

MPS 2025 menjadi contoh bagaimana acara pelajar boleh melangkaui stereotaip tradisi kampus dan berubah menjadi platform berimpak tinggi untuk membina sahsiah dan jati diri generasi muda masa hadapan.

Majlis turut menyampaikan anugerah khas kepada individu yang menunjukkan impak besar dalam komuniti kampus dan program kemasyarakatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast