BANGI – Kelewatan kerja-kerja baik pulih di laluan Genting Peras disebabkan keperluan untuk memperkukuh cerun yang berisiko, bukan semata-mata soal membaiki permukaan jalan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pembaikan sedang berjalan.
Namun kerajaan negeri tidak mahu mengambil langkah tergesa-gesa yang boleh mengundang risiko runtuhan yang lebih serius di masa hadapan.
“Kalau kita nak percepatkan dengan hanya meratakan jalan dan melepaskan itu, mungkin mudah. Tapi isunya adalah bagaimana memperkukuhkan cerun di kawasan atas.
“Kita tak nak buat kerja tergesa-gesa yang akhirnya menimbulkan potensi lebih besar untuk berlaku runtuhan atau tanah runtuh,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Tekad Pendidikan Kita Selangor 2025 di sini hari ini.
Menurut Amirudin, runtuhan yang berlaku bukan berpunca daripada kawasan Negeri Sembilan sebaliknya berpunca daripada kawasan cerun di bahagian atas dalam sempadan Selangor.
“Linggi, Negeri Sembilan merupakan kawasan yang terkesan, bukan titik runtuhan. Jadi, kita kena tangani punca sebenar bukan hanya kesannya.
“Saya telah minta Exco Infrastruktur beri maklum balas terperinci berkenaan sedikit kelewatan ini. It’s a work in progress,” katanya.
Amirudin turut memberi contoh kejayaan kerja pembaikan di Batang Kali yang kini telah siap dan kembali dibuka selepas pengukuhan cerun dilakukan dengan teliti oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Bila kita buat di Batang Kali, kawasan runtuh tersebut dah selesai dan dah boleh digunakan. Itu pun diuruskan oleh JKR juga.
“Jadi kita nak tengok apa aspek-aspeknya dan pastikan keselamatan jangka panjang,” katanya.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun pada satu sidang media pada 11 Jun lalu menggesa agar Kerajaan Selangor dapat mempercepatkan kerja-kerja baik pulih Jalan Genting Peras yang menjadi laluan penting menghubungkan Hulu Langat (Selangor) dan Jelebu (Negeri Sembilan).
Jalan tersebut telah ditutup sejak tahun 2021 susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di laluan Genting Peras-Kuala Klawang. – MalaysiaGazette















