SHAH ALAM – Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM) sepatutnya membantu Kementerian Pengangkutan (MOT) sekiranya mempunyai maklumat mengenai wujudnya pajakan permit bas kepada syarikat tertentu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, PPBBM tidak sepatutnya menyalahkan kerajaan dan menuding jari kepada beliau dan kementeriannya apabila berlaku kemalangan maut yang melibatkan pengangkutan awam itu.
“Pajak itu antara pemilik permit dan pengusaha bas. Kalau kita tak siasat, kita minta bagi dokumen ataupun apa-apa rekod, dia tak dedahkan kepada kita. Atas kertas memang kenderaan itu (bas) masih milik pemilik permit.
“Persatuan patut bantu kita, kalau dia tahu pemilik ini, patutnya persatuan senarai hitam syarikat-syarikat itu atau pun menyatakan secara terbuka untuk membantu dan membersihkan industri.
“Saya harap jangan menuding jari. Kita pun tahu, tetapi bagi pihak syarikat, mesti ada bukti, dia punya perjanjian antara dua pihak, dia tak serahkan perjanjian itu kepada MOT ataupun MOTAC,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan PPBBM mendedahkan perbuatan memajak permit bas ekspres dan persiaran membabitkan ribuan kenderaan itu yang sedang beroperasi di seluruh negara walaupun ia menyalahi syarat pelesenan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
PPBBM mendedahkan, bayaran yang dikenakan ialah RM500 sebulan bagi satu permit dipajak dan berlaku sejak sekian lama tetapi hanya timbul berikutan insiden kemalangan maut bas bawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lalu.
Selain itu, Athony berkata, semua pihak termasuk PPBBM bertanggungjawab untuk melaporkan perbuatan memajak permit bas mahupun kenderaan berat kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan kemalangan maut berulang.
“Kalau dia tahu atau industri tahu (pajak permit), dalam pasaran dia tahu, patut dia laporkan kepada MOT dan pihak berkuasa. Kalau persatuan bas tahu dia pajak permit, patut dia lapor kepada kita, tapi sebelum insiden, tiada sesiapa nak jadi pelapor.
“Persatuan sepatutnya mainkan peranan, dia patut bekerjasama dengan pihak kerajaan,” katanya.
Beliau sendiri sedia membantu mana-mana persatuan bas dan kenderaan berat yang sanggup menjadi whistleblower mendedahkan perbuatan itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan tegas.
“Persatuan perlu tunding jari (tunjuk) semua pengusaha (bas) ini perlu kita senarai hitam, tendang dia keluar daripada persatuan, buatlah macam itu, kita akan bantu.
“Saya tak jadi masalah, nak jadi bad boy, bagi senarai, kita terus gantung dan batal lesen-lesen ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















