Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Kuasa-kuasa besar dunia lain perlu mengambil sikap mengutuk serangan Israel ke atas Iran dan mesti bertindak menghentikan perang antara kedua-dua negara serta-merta.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, impak dan implikasi daripada perang itu amat besar, kritikal dan meluas bukan sahaja kepada geopolitik, tetapi juga keadaan ekonomi dunia yang amat ‘volatile‘ (rapuh).

Ujar beliau yang juga Ahli Dewan Negara, kesan rantaian perang itu akan menjejaskan ekonomi global dan meningkatkan lagi kos sara hidup dunia sekali gus menjejaskan kestabilan politik antarabangsa.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB perlu mengadakan mesyuarat tergempar untuk meluluskan resolusi menghentikan peperangan ini dan kuasa besar tidak menggunakan kuasa veto untuk menafikannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mujahid berkata, perang terbaharu Israel ke atas Iran juga hanya akan meningkatkan lagi ketegangan konflik di Asia Barat yang sudah pun berada di pinggir peperangan besar.

Jelasnya, ia sekali gus menjejaskan keamanan dan kestabilan yang sudah pun rapuh dan berpotensi mengheret Negara Teluk lain dan negara-negara Arab untuk bertindak.

Tambahnya, perkembangan mutakhir itu juga boleh memberi kesan terhadap keadaan geopolitik global yang sudah pun digemparkan dengan pembunuhan genosid di Gaza.

Ujar beliau, kemarahan ke atas Israel boleh memuncakkan suasana politik tegang di negara-negara dunia dan boleh membawa kepada keadaan huru-hara di luar kawalan.

“Serangan terbaharu Israel ke atas Iran adalah barbarik dan tidak bertanggungjawab.

“Amerika Syarikat (AS) tidak dapat dielak dari tuduhan bersekongkol berpandukan dari kenyataan yang dibuat oleh Presidennya, Donald J. Trump usai serangan ke atas Iran berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast