Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan wujud rancangan menstruktur semula kepimpinan Perikatan Nasional (PN) bagi memberi kuasa lebih besar kepada Timbalan Presiden itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN pada Februari lalu langsung tidak membincangkan atau memutuskan mengenai cadangan rombakan PN.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pelbagai cadangan dibuat oleh pelbagai pihak ke arah penambahbaikan PN dengan ada yang telah dipersetujui selain ada yang sedang dibincangkan dan dipertimbangkan.

Malah, beliau menyangkal laporan portal berita yang memetik Datuk Wan Saiful Wan Jan turut hadir mesyuarat lima pemimpin Bersatu dan Pas, sedangkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan tidak terlibat dalam mesyuarat itu.

Dalam masa sama, katanya, laporan yang menyebut cadangan penstrukturan yang didakwa ditentang oleh kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga tidak benar kerana sebarang keputusan melibatkan dasar akan dibincangkan dan dibuat secara konsensus oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu serta MKT PN.

“Dalam wawancara bersama media sebelum ini, saya menegaskan bahawa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2024 sebulat suara memutuskan hanya ada satu pasukan, iaitu Pasukan Bersatu.

“Fokus Pasukan Bersatu adalah untuk memperkukuhkan dan mempersiapkan parti bagi menghadapi persiapan PRU-16.

“Pada waktu yang sama, Pasukan Bersatu sedang meningkatkan usaha untuk menyedarkan rakyat mengenai penipuan, janji palsu, pembohongan, kezaliman serta kegagalan pemerintahan PM10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran PH-BN mengurus negara, ekonomi dan kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan portal berita kelmarin yang mendakwa terdapat cadangan rombakan struktur PN dengan memberi kuasa operasi besar kepada Hamzah.

Menurut laporan itu, jawatankuasa eksekutif diketuai Hamzah akan diwujudkan manakala presiden empat parti komponen (Pas, Bersatu, Gerakan dan MIPP) akan terus kekal dalam Majlis Tertinggi PN sedia ada.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal dua pemimpin Pas semalam iaitu Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyifatkan isu penstrukturan semula tidak pernah timbul kerana keadaan sedia ada dalam PN sudah pun stabil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast