PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak dapat menahan sebak ketika mengenangkan bagaimana Islam dipersalahkan dan dianggap agama tidak baik kerana perbuatan segelintir umatnya.
Sedangkan, kata beliau, ajaran Islam yang sebenar datangnya daripada Allah SWT menerusi wahyu kepada Nabi Muhammad SAW yang disatukan di dalam al-Quran.
Malah, menurutnya, beliau turut menjadikan al-Quran sebagai panduan terbesar dalam kehidupannya, dan segala apa yang dikecapi hari ini termasuk kejayaannya adalah kerana berpegang kepada kitab suci umat Islam berkenaan.
“Dalam kehidupan saya, saya cuba amalkan walaupun bukanlah sempurna, banyak benda yang saya buat mungkin tidak ikut ajaran al-Quran, seboleh-bolehnya saya ikut dan sedikit sebanyak saya berasa kejayaan saya hari ini sebabnya ialah kerana pegang kepada ajaran yang terdapat dalam al-Quran.

“Saya bukan anak orang elit, bapa saya guru yang duduk di kawasan setinggan, tapi Alhamdulillah, dengan memegang kepada ajaran al-Quran, saya boleh jadi Perdana Menteri.
“Sampai sekarang pun saya bertanyakan diri saya, betulkah aku ini Perdana Menteri, saya tidak percaya.
“Tetapi, Alhamdulillah, setakat yang boleh, saya mahu sebarkan kepercayaan saya terhadap al-Quran kepada semua orang, itu niat saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku karya terbaharu beliau berjudul Addeen yang disempurnakan bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Buku setebal 514 muka surat itu merupakan catatan peribadi Dr. Mahathir yang menghimpunkan surah-surah terpilih daripada al-Quran, lengkap dengan terjemahan, renungan, serta tadabbur beliau terhadap ayat-ayat suci tersebut.
Ia diterbitkan sebagai suatu usaha ikhlas untuk berkongsi pengalaman rohani beliau dalam memahami mesej-mesej Ilahi yang menjadi panduan sepanjang kehidupan beliau, sama ada sebagai pemimpin negara mahupun sebagai seorang Muslim yang sentiasa mencari kebenaran dan keinsafan.
Buku itu dijual pada harga RM100 dan boleh didapati di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, Malaysia boleh menjadi sebuah negara kuasa Islam yang kuat dan besar sekiranya berpandukan kepada ajaran al-Quran.
Antaranya, kata beliau, dari aspek bagaimana al-Quran mengunjurkan umat Islam menguasai ilmu pengetahuan, sekali gus menjadi bangsa yang maju.
“Sebab itu sudah tiba masanya kita belajar dan kejar ilmu khususnya sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sebab kedua-dua ilmu ini datang kepada kita dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Dalam masa sama, tambah Dr. Mahathir, ajaran di dalam al-Quran juga tidak memisahkan peranan politik yang mana turut mengajar pemimpin supaya tidak melakukan perkara tidak baik, berbohong, serta berlaku adil kepada rakyat.
“Kalau kita orang agama pun, kalau kita patuh kepada al-Quran, tak ada masalah kalau mahu terlibat dengan politik.
“Bagi saya agama Islam itu menjadi panduan, dan ajaran al-Quran juga menyekat gerakan saya, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
“Jadi bila kita terima larangan Islam terhadap sesuatu, kita cuma buat benda yang betul. Al-Quran beri kepada kita panduan tentang cara hidup kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















