KULAI – Seorang lelaki yang menjaga ladang kelapa sawit milik bapanya ditemui mati di Kelapa Sawit, di sini, semalam.
Foto-foto berkenaan penemuan mayat lelaki itu tular sehingga menimbulkan andaian dan persoalan punca lelaki berkenaan mati sendirian di Ladang Kulai itu.
Bagamanpun tiada maklumat lanjut disertakan kecuali dua keping gambar memaparkan sebuah motosikal yang terjatuh dan lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat berkenaan pada pukul 11.02 pagi.
“Mayat itu merupakan lelaki warga tempatan berusia 49 tahun dan ditemui dalam jarak satu kilometer dari kediamannya.
“Mangsa tinggal seorang diri dalam ladang itu kerana menjaga ladang bapanya itu. Mangsa tinggal tidak jauh dari lokasi mayatnya ditemui,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, seorang rakan mangsa dari ladang sebelah menemui mayat lelaki berkenaan.
Jelasnya, bedah siasat telah selesai dijalankan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini.
“Kita mendapati sebab kematian adalah serangan jantung dan tiada unsur jenayah. Kes disiasat di bawah laporan mati mengejut (SDR),” ujarnya.- MalaysiaGazette
















