KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat satu video tular yang memaparkan seorang pegawai rendah polis sedang berbual dan mengajak seorang wanita berjumpa di rumah atau mendaftar masuk ke hotel, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia, CP Datuk Seri Azri Ahmad berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan tatatertib selari ke atas pegawai rendah berkenaan termasuk dari segi penyeliaan.
ARTIKEL BERKAITAN
“Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai polis dan pegawai penyelia sekiranya aduan tersebut berasas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Ketua Polis Balai Pandan Indah, Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya juga telah membuat satu laporan pada 14 Jun lalu.
Susulan itu, kes juga sedang disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baru-baru ini,video berdurasi 2 minit 17 saat itu tular di media sosial. Kejadian dipercayai berlaku di daerah Ampang Jaya, Selangor. -MalaysiaGazette
















