Seorang wanita maut tercampak keluar dari kereta selepas melanggar belakang sebuah van sekolah di Jalan Skudai, Pantai Lido, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita maut tercampak keluar dari kereta yang dipandu selepas melanggar van sekolah di Kilometer 4 Jalan Skudai, Pantai Lido, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pukul 6.54 pagi melibatkan kereta Perodua Bezza dan van sekolah yang tidak mempunyai penumpang.

“Siasatan mendapati kemalangan tersebut melibatkan wanita iaitu pemandu Perodua Bezza dengan van sekolah dipandu seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun.

“Wanita berkenaan dipercayai gagal mengawal kereta dipandunya dan melanggar belakang kanan van sekolah.

“Ini menyebabkan Perodua Bezza hilang kawalan dan berpusing-pusing terbabas di bahu sebelah kiri jalan,” katanya satu dalam kenyataan.

Katanya, akibat pelanggaran tersebut pemandu wanita itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Raub, pemandu van sekolah tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara berbahaya dan melulu.

Pihaknya memohon saksi awam untuk tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulpakha Bambo 014-8861791. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast