KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru semua pihak khususnya Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis tidak campur tangan dalam perang yang telah dimulakan Israel ke atas Iran ketika ini.
Pengarah komunikasinya, Khalid Samad berkata, wajah fasis dan zalim sebenar Israel terdedah melalui tindakan rejim itu Gaza dan serangannya ke atas Iran.
Menurut beliau, ketika ini merupakan masa yang paling sesuai untuk Israel ditekan supaya bertindak adil dan menjadi negara demokratik yang sebenar atau berdepan risiko lenyap dari muka bumi.
“AMANAH menyeru negara-negara Arab yang berjiran dengan Iran dan Israel untuk mengiktiraf hak Iran bertindak balas dan sekiranya kamu tidak mampu menyokong samada Iran ataupun rakyat Gaza, maka jangan sekali-kali menyebelahi dan membantu Israel!
“Seharusnya hubungan diplomatik dan perniagaan ditamatkan segera demi membantah sikap ‘beligerent’ atau ganas yang ditunjukkan Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Khalid berkata, Iran berhak menyerang balas setelah diserang Israel dan parti tersebut berbangga dengan kemampuan Iran untuk bertindak balas.
Dalam masa sama, ujar beliau, Amanah turut menyanjung sikap Iran yang sanggup menghentikan serangan terhadap Israel jika Israel menghentikan serangan ke atas negara itu.
“Ini menunjukkan sikap cintakan perdamaian walaupun Iran mampu bertindak ganas di luar jangkaan semua pihak termasuk Amerika Syarikat,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid menegaskan, Iran berhak meningkatkan kemampuan nuklearnya, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan di bawah pemantuan agensi nuklear antarabangsa.
Tidak seperti Israel, ujarnya, Iran mematuhi peraturan antarabangsa dan membenarkan pemeriksaan terhadap fasaliti nuklear miliknya.
“Keangkuhan Israel dalam menganggap ianya berhak menentukan dan mengehadkan kemampuan nuklear negara lain, sambil Israel sendiri tidak membenarkan pemeriksaan ke atas fasaliti nuklearnya sendiri oleh badan antarabangsa adalah jelas satu keadaan yang tidak boleh diterima,” katanya. – MalaysiaGazette
















